Tahun lalu kau datang menziarahiku, aku menyambutmu dengan senyuman, dengan pakaian yang terindah yang aku miliki. Kau berkunjung ke rumahku, lalu aku melayanimu semampuku. Kita bercanda setiap malam dengan penuh perasaan rindu kerna sudah lama tidak ketemu. Sepanjang sebulan kau bertamu di rumahku, banyak yang kita menghabiskan masa bersama. Engkau menginginkan aku membaca kisah yang paling engkau cintai, lalu aku membacanya. Engkau menginginkan aku melakukan apa yang kau sukai, lalu aku melakukannya. Dan kita semakin mesra melepaskan kerinduan setahun berpisah. Saat aku merasa lemah, kau disisi menenangkanku, memimpin tanganku untuk terus tabah. Lalu saat engkau berangkat pergi, kau tersenyum dan menyimpan harapan untuk bertemu lagi denganmu di tahun berikutnya.
Setahun sudah berlalu…
Maafkan aku wahai sahabat, kali ini aku tidak menyambutmu seperti dulu ketika kau datang mengetuk pintu rumahku. Namun kau masih bersabar, kerana kau tahu aku memang sedang mengharapkan kedatangan kau. Lalu kau masuk ke dalam, bertanya akan khabarku. Aku tertunduk diam, dengan pakaian yang hampir lusuh. Duduk di sudut rumahku yang gelap. Kau menarik tanganku ke dalam cahaya, dengan lemah aku menuruti. Masih tertunduk, masih membisu.
Telah beberapa hari kau bertamu dirumahku. Tidak semesra dulu. Kita tidak berbual rancak seperti dulu. Kau masih terus di sisiku, ketika aku sibuk dengan urusanku, menemani aku walaupun aku seolah-olah tidak merasakan kehadiranmu. Namun, dengan kelelahan, aku masih lagi membacakan kisah yang paling engkau cintai, dan melakukan apa yang engkau cintai. Kerna aku mencintaimu, rindu kepadamu. Cuma sekarang aku lelah, dengan apa yang perlu aku uruskan, aku rimas dengan apa yang perlu aku selesaikan. Aku memang, tak pernah pandai menguruskan banyak perkara dalam satu masa. Benar-benar rimas.
Aku merindui saat kau bertamu di rumahku tahun lalu. Tiada kesibukan yang perlu aku hadapi. Setiap hari hanya bergelumang dengan perkara yang kau wasiatkan untuk aku teruskan sepanjang ketiadaanmu. Bebas rasanya. Gembira rasanya. Bahagia rasanya.
Maafkan aku sahabat. Aku sedang belajar untuk menjadi satu susuk yang engkau cintai. Aku sedang belajar untuk hidup sebagai seorang manusia… dan juga hamba… dengan bahagian-bahagian yang perlu aku uruskan.
Kerana ada manusia yang hanya memenuhi bahagian kerjanya sahaja, ada yang memenuhi bahagian ibadah sunatnya sahaja, ada yang memnuhi bahagian keluarganya sahaja, ada yang memenuhi bahagian belajarnya sahaja, ada yang memenuhi bahagian masyarakatnya sahaja.
Tetapi aku ingat akan pesanmu, hidup ini ada banyak bahagian. Ada bahagian kita sebagai pekerja, ada bahagian kita sebagai pelajar, ada bahagian kita sebagai anak, sebagai kawan, sebagai abang, sebagai hamba, sebagai ahli masyarakat, sebagai suami, sebagai bapa, sebagai ketua masyarakat, sebagai bos, dan berbagai-bagai bahagian yang lainnya. Kesemuanya perlu kita penuhi sama-rata. Tidak boleh memberatkan sebahagian dan mengurangkan sebahagian. Kerna kesemua bahagian itu adalah ibadah. Aku ingat pesanmu.
Maafkan aku sahabat, aku sedang belajar menguruskan banyak perkara dalam satu masa. Kata orang, multitasking. Mungkin memakan masa untuk aku membiasakan diri. Aku harap kau terus bersama denganku, temani aku, aku sedaya upaya memberikan layanan yang aku mampu.
Maafkan aku sahabat.
*Satu kisah separa khayalan untuk sahabat-sahabat yang lainnya.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN. MOGA KITA MENJADI SEMAKIN BAIK DARI SEBELUMNYA. AMEEN.


terasa dgn tulisan ni..maapkan kami ramadhan
dude
ada dengar berita gembira ni. betul ke? tahniah ler
salam
Marhaban Ya Ramadhan
Bersihkann hati dan tingkatkan ibadah kita