Setiap manusia adalah makhluk yang diciptakan. Sama seperti binatang, sama seperti tumbuhan, sama seperti alam semesta dan lain-lain ciptaanNya. Tetapi yang membuatkan manusia ini satu makhluk yang istimewa dan unik adalah hatinya. Kerana hatinya, manusia mampu membuat pilihan, satu keistimewaan yang tidak diberikan kepada makhluk lain.
Ada hati yang menghadapi dunia dengan kelembutan, dan ada yang menghadapi dengan hati yang keras. Ada yang perlu berkeras dengan hatinya untuk melakukan perubahan, dan ada juga yang perlu berlembut dengan hatinya untuk membuat perubahan. Ada yang terpaksa mengeraskan hati untuk berteguh hati, dan ada juga yang meneguhkan hati dengan berlembut dan berlapang dada. Ada juga yang bila berkeras hati utk berubah, menjadi semakin teruk dan bila diuruskan dengan lembut, perubahan itu lebih berkesan. Dan juga sebaliknya. Semuanya bergantung kepada apa yang telah diisikan ke dalam hatinya sepanjang manusia itu hidup.

Hari ini, telah kunikmati satu perjalanan yang jauh, yang hampir 10 kilometer, semata-mata untuk menghayati bersama sahabat-sahabat yang sentiasa dihati akan safar Rasulullah yang dicintai bersama Abu Bakar yang dikasihi serta safar para ahli-ahli badar. Sungguh, satu pengalaman yang menarik dan tidak terasa akan kepenatannya.
